Perutusan Eidulfitri ABIMN9

Assalamualaikum wbt,

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, walilLah al hamd, TaqabbalalLahu minna wa minkum,

Salam Eidulfitri kepada semua,

Setinggi-tinggi syukur ke hadrat Allah swt yang telah mengurniakan nikmat dan rahmat yang tidak terhingga dan terhitung oleh kita. Selawat dan salam ke atas junjungan nabi Muhammad saw. Setinggi-tinggi tahniah kepada semua yang berjaya melaksanakan tuntutan ibadah di bulan ramadhan yang mulia ini. 

Ramadhan 1437h sepatutnya meninggalkan kita dengan tarbiyah jiwa dan kerohanian yang mengesankan. Pastinya Ramadhan akan dapat meningkatkan keimanan dan ketaqwaan menerusi latihan dan tarbiyah kerohanian berpuasa dan beribadah di bulan Ramadhan. Kewajipan untuk membayar zakat fitrah memberikan pengajaran betapa kita tidak hanya perlu memikirkan diri sendiri tetapi prihatin kepada saudara kita yang lain. Ramadhan bertujuan untuk mendidik jiwa agar sentiasa memelihara hubungan dengan Pencipta dan hubungan sesama manusia dengan pelbagai amalan soleh seperti berpuasa, beribadah, berzakat, bersedekah dan berinfaq. Semoga semua pengajaran dan maqasid Ramadhan itu dapat dihayati dan dapat dimaknai dalam setiap aspek kehidupan.

Ramadhan 1437h juga menyaksikan beberapa insiden dan peristiwa yang tidak mencerminkan ruh ramadhan itu sendiri. Kejadian letupan di Istanbul, kesengsaraan warga Rohingya, Syria dan ramai lagi, peningkatan isu Islamofobia, pengeboman di sana sini, isu ISIS atau Daesh dan banyak lagi peristiwa mendukacitakan berlaku di wilayah Islam. Walaupun tidak dinafikan bahawa Ramadhan disambut dengan penuh meriah oleh umat Islam di Malaysia tetapi kita juga melalui insiden dan peristiwa yang sepatutnya tidak berlaku di negara ini dalam Ramadhan yang mulia ini. Isu kafir harbi, rasuah, pertikaian mengenai suntikan vaksin, gejala tuduhan munafik haraki, berbuka puasa di gereja, letupan, kemalangan jalanraya yang tinggi dan banyak lagi terus membelenggu umat Islam. Apa yang lebih menyedihkan, isu furu’ atau isu kecil seperti bilangan rakaat tarawih, ziarah kubur dan selawat di antara waktu tarawih menjadi perdebatan yang akhirnya menimbulkan perbalahan. Hinggakan dilihat perdebatan bukan mencari penyelesaian dan perdamaian tetapi lebih menjurus kepada mencari kemenangan dan mempertahankan keegoan. Kesemua ini sepatutmya tidak berlaku dan seharusnya ditangani dengan penuh berhikmah.

Merenung situasi yang berlaku di kalangan umat Islam ini, ABIMN9 ingin mengajak semua untuk benar-benar menghayati Maqasid al Shariah. Sudah sampai masanya untuk kita bukan sahaja obses dan fanatik dengan hukum sesuatu perkara tetapi apa yang lebih utama memahami tujuan dan matlamatnya. Maqasid puasa misalnya bermatlamatkan ketaqwaan, maqasid solat pula pastinya dapat mencegah kemungkaran dan mendidik jiwa kepada kebaikan. Bukan itu sahaja, memelihara keindahan imej Islam itu juga sebahagian daripada Maqasid al Shariah. Sekiranya kita dapati dengan segala amalan dan ibadah yang telah dilakukan tidak berjaya mendidik jiwa dan membentuk akhlak serta tidak memenuhi maqasid, sudah pasti kita perlu untuk bermuhasabah. Abimn9 mengajak semua untuk sentiasa bermuhasabah dan menilai diri secara istiqamah agar dapat meningkatkan ketaqwaan dan keimanan.

Sebagai pertubuhan belia, Abimn9 melahirkan rasa prihatin terhadap beberapa isu yang dihadapi oleh golongan belia yang signifikan terhadap kehidupan pada masa ini dan di masa depan. Isu ekonomi, kos sara hidup, pemilikan rumah, pengangguran, ketidaksamarataan antara etnik, peluang pendidikan, inflasi dan sebagainya terus menghantui masyarakat Malaysia. Bersempena dengan Ramadhan dan Eidulfitri kali ini, marilah kita tanamkan tekad untuk bersama-sama menggembleng tenaga dan idea serta pemikiran untuk membangunkan agenda belia bagi memastikan belia dapat bersaing dan dalam masa yang sama berusaha memelihara keadilan sosial melindungi kebajikan untuk semua.

Perpaduan dan keselamatan sosial adalah sesuatu yang mesti dipertahankan dan dipelihara. Keadaan semasa menyaksikan terdapat pihak yang cuba menanam bibit-bibit perpecahan dan perbalahan. Abimn9 dengan ini mengajak semua untuk bersama-sama berusaha memelihara keamanan dan perpaduan di negara ini. Kepelbagaian bangsa, fahaman dan latar belakang budaya tidak sepatutnya dijadikan punca perbalahan tetapi semestinya dijadikan asas kepada perpaduan. Perbalahan tidak membawa sebarang manfaat perlu dihindarkan. Pendekatan wasatiyah perlu diangkat dan dilaksanakan secara menyeluruh dalam menangani sebarang pertikaian, permasalahan dan kekhilafan. Pandangan yang bersifat ekstrim dan ghuluw sama sekali perlu dihindari.

Di antara salah satu ciri negara yang baik dan efisyen ialah kekuatan masyarakat sivilnya. Masyarakat sivil adalah masyarakat yang lebih bebas dan tidak terlalu bergantung harap kepada kerajaan. Masyarakat sivil yang efektif akan menyelesaikan banyak permasalahan dan isu sosial secara kolektif dengan berkesan. Oleh itu, Abimn9 menyeru kepada semua untuk memperkukuhkan lagi institusi masyarakat sivil dengan mengajak semua untuk terlibat secara aktif dalam kegiatan masyarakat. Di sini juga, Abimn9 ingin menawarkan peluang untuk terlibat sama dalam aktiviti kesukarelawanan kepada semua yang berminat. Kami masih memerlukan sokongan dan bantuan kesukarelawanan untuk melaksanakan semua program dan aktiviti yang dirancang.

Sesungguhnya Ramadhan menyaksikan peningkatan amalan dan ibadah sepertimana yang kita saksikan setiap tahun. Namun, apa yang menjadi tuntutan utama ialah bagaimana untuk mengekalkan perkara ini agar konsisten sepanjang tahun. Oleh itu, Abimn9 ingin mengajak semua untuk terus menghidupkan ruh Ramadhan dan meneruskan amalan kebaikan yang dilakukan dalam bulan ramadhan dalam bulan seterusnya sepanjang tahun dan kehidupan. Sesungguhnya kita perlu berusaha untuk menjadi Rabbaniyyun la ramadhaniyyun sepertimana diungkapkan oleh Syeikh Yusuf al Qaradawi. Menjadi Rabbaniyun bermakna amalan dan ruh Ramadhan itu dihayati dan dimaknai secara berterusan dan istiqamah bukan hanya berlaku di dalam bulan Ramadhan. 

Bersempena Eudilfitri ini, Abimn9 ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan salam eidulfitri maaf zahir batin kepada semua. Kami ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada semua yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan segala aktiviti yang dilaksanakan Abimn9. Juga tidak lupa kepada semua penyumbang yang telah menginfaqkan dan menyumbang kewangan dan tenaga kepada Abimn9. Kami amat terharu dengan sumbangan dan sokongan amat signifikan yang diterima. Abimn9 ingin memohon maaf di atas segala kesalahan dan kesilapan  yang telah dilakukan serta setiap kekurangan kami. Sesungguhnya setiap perkara dan aktiviti yang dilaksanakan dilakukan dengan penuh keikhlasan hanya untuk mendapat redha Allah swt. 

Akhir kata, mewakili semua warga Abimn9, kami ingin mengucapkan salam Eidul Fitri maaf zahir batin kepada semua dan mendoakan semoga ketemu lagi Ramadhan pada 1438h. 

PROFESOR MADYA DR. ZULKIFLI HASAN

YANG DIPERTUA ABIMN9

About ABIM Negeri Sembilan

ABIM Negeri Sembilan Darul Khusus.
This entry was posted in Abimns. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s